Contoh Karangan Pencemaran Sungai Pt3 Terbaik

Contoh Karangan Pencemaran Sungai Pt3 Terbaik. Punca dan Penyebab?

pencemaran sungai

Berikut di bawah ini kami akan berkongsi contoh karangan pencemaran sungai yang terbaik buat rujukan dan panduan buat anda para pelajar yang sedang merangka dan menyusun untuk buat latihan dan tugasan untuk karangan yang berkaitan dengan pencemaran sungai di Malaysia.

Ini adalah contoh karangan mengenai tajuk punca-punca pencemaran sungai yang bakal kami huraikan dalam karangan di bawah ini.

Mari kita semak bersama-sama.

Semoga ia dapat membantu anda semua.

Contoh Karangan Pencemaran Sungai : Punca Pencemaran?

          Alam semesta dan sekitar yang terbentang luas dan terpampang luas ini merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya dan kita sebagai makhluk yang hidup di muka bumi ini diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaganya dengan sebaik mungkin.

Alam ini hendaklah dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab supaya dilindungi daripada pencemaran yang tidak diingini. Namun, dek kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia, kini manusia semakin lupa dan leka akan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar. Tanpa memikirkan langsung kesan buruk terhadap alam sekitar, manusia kini lebih sibuk dan rakus mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan setiap individu yang tamak haloba. Antara yang terjejas teruk akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab ini adalah sungai. Oleh yang demikian, punca-punca yang menyebabkan terjadinya pencemaran ini perlulah dikenal pasti dan ditangani segera atau mahukah kita menunggu sehingga keadaan sungai kita menjadi sungguh teruk kemudian barulah kita akan mengambil tindakan bak kata pepatah Melayu ada mengatakan sudah terhantuk baru terngadah?

            Pembuangan sampah sarap ke dalam sungai adalah antara punca pencemaran sungai. Ia akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada sungai apabila semua sisa buangan domestik dan sampah sarap dibuang ke dalamnya. Hal ini akan menyebabkan sungai akan dipenuhi bahan-bahan terbuang dan plastik sampah yang terapung pada permukaan air sungai. Selain itu, warna air sungai akan betukar kepada kehijau-hijauan dan kehitam-hitaman daripada warna asalnya iaitu jernih. Sebagai contoh yang dapat dilihat, di negara kita sendiri, kelihatan sisa-sisa sampah yang terampai di permukaan sungai dan warna airnya yang keruh pada sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung sendiri. Natijahnya, sumber air manusia akan tercemar dan hidupan akuatik akan musnah serta menyebabkan bau yang busuk yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pembuangan sisa sampah ke dalam sungai boleh mengakibatkan pencemaran sungai.

         Tambahan pula, pencemaran sungai juga boleh berlaku akibat daripada pembuangan sisa-sisa daripada kilang. Lazimnya, ini berlaku kerana berikutan daripada perbuatan pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan kesan kepada sungai-sungai di Malaysia. Kebiasaannya, sisa-sisa daripada kilang yang dibina berhampiran tepi sungai akan dialirkan terus ke dalam sungai untuk melupuskan sisa buangan dengan cara yang lebih mudah. Penjimatan kos bagi pelupusan sisa tersebut dapat dilakukan apabila sisa ini mengalir ke sungai. Sikap pengusaha kilang yang terbabit dapat diibaratkan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kesan buruknya, bahan-bahan kimia dan sisa-sisa toksik akan mencemarkan sungai dan sekaligus akan merendahkan kualiti air dan hidupan-hidupan akuatik sudah tidak sesuai untuk mendiami sungai itu. Dengan ini, impak buruk yang berlaku kepada sungai sekarang adalah antaranya kerana pengaliran sisa kilang.

             Di samping itu, kegiatan pembalakan juga antara punca pencemaran sungai. Kegiatan pembalakan adalah merupakan kegiatan penebangan pokok-pokok yang bertujuan untuk industri pembuatan dan pembangunan. Pencemaran sungai akan berlaku susulan daripada kelonggaran ikatan zarah tanah disebabkan matinya akar yang mengikat struktur tanah tersebut akibat daripada aktiviti penebangan. Oleh yang demikian, hakisan tanah akan berlaku dengan lebih mudah dan menyebabkan tanah tersebut akan mencemari sungai tersebut. Selain itu, pembuangan kayu-kayu dan ranting-ranting pokok juga akan menyebabkan aliran sungai-sungai tersekat. Natijah yang paling ketara adalah berlakunya bencana alam seperti banjir kilat dan wabak penyakit seperti denggi, chikugunya dan lain-lain lagi akan berlaku. Kualiti air bagi tujuan domestik akan semakin berkurang berikutan pemendapan tanah yang banyak di dalam air sungai. Oleh itu, kegiatan pembalakan dan penebangan yang berleluasa ini tidak dapat dinafikan memberikan kesan buruk kepada sungai-sungai.

          Kesimpulannya, ketelitian yang lebih mendalam hendaklah dilakukan terhadap punca-punca yang menyebabkan pencemaran sungai supaya usaha-usaha mengatasi dan menangani masalah pencemaran sungai ini dapat dijalankan dengan lebih efektif. Langkah yang proaktif seharusnya diambil oleh pihak kerjaan dengan menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai. Malah denda yang lebih tinggi boleh dikenakan oleh pihak yang berwajib kepada pihak-pihak yang melakukan aktiviti pencemaran sungai serta pemantauan terhadap kuliti air sungai di negara kita hendaklah kerap dilakukan seperti pepatah Melayu ada mengatakan  mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini sangat diharapkan agar pencemaran sungai dapat ditangani dengan kadar segera supaya generasi pada masa hadapan dapat merasai dan menikmati alam sekitar yang diwarisi daripada kita tanpa sebarang pencemaran seperti bijak pandai ada berkata alam bukan diwarisi daripada nenek moyang tetapi dipinjam daripada generasi akan datang.

P/S : Mypt3 akan terus mengemaskinikan beberapa lagi koleksi contoh karangan pencemaran sungai yang menyentuh aspek punca dan faktor, kesan serta cara dan langkah mengatasi pencemaran sungai tersebut

JOIN TELEGRAMLINK PAUTAN
Telegram Bantuan Kerajaan MalaysiaTelegram Bantuan Kerajaan Malaysia